Waktu pagi seringkali menjadi penentu keadaan diri anda sepanjang hari.
Cara anda menggunakan pagi anda akan memberi impak besar kepada keadaan mental yang sihat, produktiviti yang tinggi dan keseluruhan kesihatan anda.
Mengamalkan ritual pagi yang positif adalah penting untuk peningkatan kualiti hidup diri anda dan organisasi (rumah dan tempat kerja anda.)
Kebiasaan atau tabiat yang betul akan meningkatkan kualiti hidup anda menjadi versi terbaik diri anda.
Jika anda mengamalkan empat rutin pagi ini, anda berpotensi untuk mengubah corak hidup anda dengan mempunyai motivasi yang tinggi, daya usaha yang tekal, dan pembangunan diri yang unggul.
Melaksanakan ritual ini akan membantu anda muncul sebagai diri anda yang terbaik setiap hari.
Rutin Pagi Yang akan meningkatkan kualiti hidup anda.
Bangun Awal Pagi.
Memulakan hari dengan bangun awal memberi anda kelebihan untuk merancang dan menyusun tugas harian anda dengan lebih selesa.
Tindakan ini memberi ruang kepada anda untuk merenung, mensyukuri, dan merancang matlamat harian anda.
Kajian menunjukkan orang yang bangun awal cenderung menjadi lebih produktif dan positif.
Perkongian pengamalan seorang Coach Kehidupan kepada peserta, saya salah seorang peserta beliau sewaktu menghadiri sebuah program 'Peak Performance' anjuran beliau beberapa tahun lepas.
Dia bangun seawal jam 4 pagi melakukan rutin refleksi diri tentang pencapaiannya hari semalam, mencatatkan kesyukurannya terhadap pencapaian dan menyedari kesilapan semalam.
Kemudian dia merancang cara untuk memperbaiki kesilapannya semalam dengan menetapkan matlamat hariannya sebelum dia masuk ke pejabatnya setiap hari.
Waktu pejabat digunakan untuk penerangan, perbincangan dan perlaksanaan matlamat yang telah ditentukannya bersama-sama pekerjanya.
Rutin ini telah melancarkan kerja-kerjanya di pejabat dan kurang menimbulkan tekanan kepada dirinya dan pekerja-pekerjanya.
Senaman Ringan
Melakukan senaman ringan dalam rutin pagi anda meningkatkan aliran darah, meningkatkan kejelasan mental, dan memberikan dorongan tenaga.
Aktiviti fizikal pada waktu pagi hari membantu anda mengurangkan tekanan dan meningkatkan emosi positif anda secara keseluruhan.
Keadaan ini menjadikan anda sentiasa bersemangat dan bertenaga semasa melaksanakan tugas hariananda di pejabat dan di rumah.
Meditasi atau Kebiasaan Keprihatinan (Mindfulness)
Mengamalkan meditasi atau membangunkan keprihatinan dalam diri dapat membantu anda mengurus fikiran anda.
Fikiran yang diurus dengan baik dapat mengurangkan kebimbangan, dan meningkatkan daya perhatian dalam melaksanakan tugas harian anda.
Pengamalan Keprihatinan Diri (Keadaan ini mencipta mindfulness) melatih anda untuk sedar dalam keberadaan anda pada saat itu.
Maksudnya anda fokus kepada diri dan tindakan anda saat itu.
Anda benar-benar sedar apa yang anda lihat, dengar dan rasa keadaan diri anda tanpa membuat penilaian dan menerima dengan rasa keterbukaan.
Ia dilakukan dengan mengamalkan teknik pernafasan dan mempertajamkan sistem deria.
Hasilnya perasaan anda sangat tenang, anda berasa sangat segar dan bertenaga untuk melaksanakan tugas-tugas anda.
Pembacaan Positif dan Penetapan Matlamat
Amalan membaca sesuatu bahan yang positif dan menetapkan matlamat harian setiap hari akan meningkatkan kualiti hidup anda.
Zaman ini kebanyakan orang akan mencapai telefon bimbit dan terus melihat bahan-bahan yang dipapar di skrin telefon bimbit masing-masing sebaik cerlangnya mata.
Pastikan pilih dan baca bahan-bahan yang positif dahulu untuk mempasakkan perasaan positif ke dalam fikiran anda.
Menetapkan matlamat harian membantu anda fokus kepada tujuan setiap tindakan anda.
Rutin ini menjurus kepada tindakan meningkatkan motivasi anda untuk mencapai sesuatu hasil setiap hari.
Dengan mengamalkan kebiasaan-kebiasaan ini, anda dapat mencipta pagi yang positif dan memberi daya tahan mental yang diperlukan untuk mencapai potensi penuh anda.
Jangan lupa untuk mengadaptasi kebiasaan ini mengikut keperluan dan keunikan diri anda sendiri.