Terdapat lebih daripada satu cara untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya yang anda ceburi.
Setiap orang memiliki pendekatan yang berbeza yang berfungsi untuk mereka mencapai cita-cita dan impian di tempat kerja mereka.
Namun tanpa disedari terdapat banyak tabiat buruk yang menjadi amalan dan penghalang untuk mereka mencapai kejayaan dalam kerjaya yang diceburi.
Sekiranya anda tidak mahu disingkir dan disisih dari pekerjaan yang ada miliki dan anda mahu mengalami pekembangan kerjaya anda, anda harus mengambil berat dan prihatin kepada 12 perkara berikut.
Sedarilah 12 tabiat yang boleh membatasi perkembangan kerjaya anda
1. Sikap suka menangguhkan kerja
Menangguh dan melengah-lengahkan kerja boleh menjadi penghalang utama dalam kejayaan kerjaya anda.
Tidak menepati masa dalam urusan perlaksanaan tugasan akan menyebabkan masalah kepada pihak pengurusan.
Keadaan ini menunjukkan anda seorang yang tidak bertanggungjawab atas amanah yang diberikan kepada anda.
2. Keperibadian Kurang Komunikasi
Proses komunikasi adalah satu keperluan yang sangat penting dalam setiap organisasi.
Proses komunikasi banyak melancarkan urusan di pejabat selain membina hubungan sosial di setiap tempat kerja.
Kurang berkomunikasi dan tidak berkemahiran berkomunikasi yang berkesan mendedahkan diri anda untuk dijauhi oleh rakan sekerja.
Keadaan ini boleh mengakibatkan anda mungkin berhadapan dengan masalah khasnya dalam perlaksanaan kerja yang memerlukan berkolabarasi sesama rakan sepejabat.
3. Ketidakcekapan Pengurusan Masa
Menguruskan masa dengan baik adalah kunci utama mencapai kejayaan dalam pekerjaan setiap pekerja.
Apabila anda tidak cekap mengurus masa, kemungkinan besar anda akan banyak menyebabkan kesulitan kepada rakan sekerja dan organisasi anda.
Banyak kerja yang tertangguh, dan terlepas daripada tarikh perlaksanaan, dan seterusnya banyak menjejaskan penjadualan dan pencapaian matlamat setiap unit dalam organisasi anda.
4. Ketidakmampuan Mengadaptasi Diri dengan Persekitaran
Dunia kerjaya hari ini sentiasa berubah. Perubahan berlaku sangat cepat selaras dengan kemajuan dunia teknologi digital masa kini.
Ketidakmampuan mengadaptasi kepada perubahan yang pantas ini boleh menghambat perkembangan kerjaya anda .
Jika anda tidak mahu berusaha untuk bertindak dan berubah selari dengan perubahan di persekitaran pekerjaan anda, anda telah menganiaya diri anda sendiri.
Ketidakmahuan untuk mencabar diri dalam mengadaptasi aliran perubahan yang sedang pesat akan merugikan diri anda sendiri.
5. Kurang Semangat Pembelajaran
Keinginan untuk terus belajar adalah penting dalam era perkembangan pesat. Sifat berusaha untuk terus belajar harus dipupuk dan disemai dalam diri jika anda mahu berjaya dalam kerjaya anda.
Keengganan untuk berusaha belajar akan menyekat perkembangan kerjaya kerana anda akan tertinggal dalam aspek pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh majikan anda.
Kekurangan semangat untuk belajar akan menjejaskan prestasi kerja dan meragut impian anda untuk berjaya dalam kerjaya anda.
6. Menolak Tanggungjawab
Mengelak daripada menerima tanggungjawab akan merosakkan reputasi profesional anda.
Tabiat mengelak dan melarikan diri daripada tanggungjawab harus dikikir.
Sikap begini akan menjejaskan nilai dan harga diri anda.
Malah sikap ini boleh menghilangkan rasa hormat dan percaya orang terhadap anda.
Bagaimana anda hendak berjaya dalam kerjaya jika ketua atau pihak pengurusan organisasi tempat kerja anda sudah tidak menghormati dan mempercayai anda?
7. Sikap Negatif
Sikap yang negatif boleh mempengaruhi persepsi orang terhadap anda.
Orang yang bersikap negatif selalunya tidak digemari oleh orang ramai.
Orang yang bersikap negatif seringkali mendatangkan masalah kepada orang lain, rakan sepejabat malah kepada pihak pengurusan.
Mereka suka membantah tanpa sebab yang munasabah. Selalu merungut. Sering menyalahkan orang lain.
Anda harus berhati-hati dan sedar agar tidak termasuk dalam kandang spesis ini.
Jika anda ada sifat-sifat begini, cepat-cepat sedar dan berubah jika mahu berjaya dalam kerjaya anda. Pilihan di fikiran anda!
8. Ketidakjelasan Objektif
Setiap pekerja mesti tahu dengan jelas matlamat anda bekerja dan tahu matlamat organisasi tempat anda bekerja.
Mempunyai matlamat yang sama mewujudkan kesepaduan dan memudahkan proses perlaksanaan strategi pencapaian matlamat pekerja dan majikan.
Tidak tahu dan tidak memahami matlamat kerja anda akan menyebabkan kekeliruan dan kekacauan dalam fikiran, emosi dan tindakan anda.
Kekeliruan dan kekacauan fikiran, emosi dan tindakan akan mejejas prestasi kerja dan organisasi anda.
Jika keadaan begini berlaku, apa agaknya akan terjadi kepada anda?
Jika anda benar-benar mahu berjaya dalam kerjaya anda, apa usaha yang anda fikir harus anda lakukan untuk menyelaraskan matlamat anda dengan matlamat organisasi anda?
9. Ketidakadilan
Berlaku adil terhadap semua orang termasuk diri sendiri merupakan satu kriteria yang sangat mustahak dalam setiap organisasi.
Keadilan dalam organisasi adalah berpunca dari sikap keadilan ahli-ahlinya daripada pihak atasan hinggalah pihak bawahan.
Setiap individu harus tahu dan sedar sikap-sikap keadilan yang perlu diterap dan disemai dalam diri masing-masing.
Ketidakadilan dalam melaksanakan tanggungjawab boleh menyebabkan penyalahgunaan kuasa, penindasan, berkepentingan untuk diri sendiri dan penzaliman terhadap diri dan orang lain.
Penyemaian sifat-sifat empati, saling hormat-menghormati, bermoral tinggi, prihatin dan berkemahiran mendengar dapat mengelak sifat ketidakadilan di tempat kerja dan dapat menghasilkan persekitaran kerja yang harmoni.
10. Ketidakprofesionalan
Sikap profesional sangat membantu anda membina imej yang baik di tempat kerja dan dapat menjadi ciri-ciri untuk lebih berjaya jika diamalkan.
Jauhi sikap membawangbergossip di pejabat, sikap angkat bakul-suka memuji diri sendiri dan melihat diri yang terbaik, suka mencampuri urusan peribadi orang lain, bersikap tidak peduli, sering mengeluh dan mengaku kerja orang lain sebagai kerja sendiri adalah antara sifat-sifat tidak professional.
Sekiranya anda sayang akan kerjaya anda dan mahu memajukan diri untuk berjaya lebih tinggi maka anda harus beringat-ingat untuk menjauhi yang tidak profesional ini.
11. Ketidakseimbangan dalam Kerja dan Kehidupan Hidup
Pastikan anda menjaga keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi agar anda menikmati kestabilan emosi dan fizikal.
Membina corak kehidupan yang keseimbang dalam kerjaya dan kehidupan patut disedari dan dilaksanakan oleh pihak majikan bersama-sama pekerja demi memupuk pengamalan kesihatan mental yang baik dan dapat mendorong produktiviti pekerja.
Anda harus sentiasa sedar akan keadaan kesihatan mental anda dengan bijak mengurus masa dengan baik.
Mengimbangi tanggungungjawab kerjaya dengan menyelaraskan aktiviti kehidupan seharian dan keluarga dapat mendatangkan kesejahteraan dalam hidup anda.
12. Ketidakmahuan untuk Berubah
Membuat perubahan khasnya untuk mengubah tabiat bukanlah mudah. Namun, anda pasti pernah mendengar peribahasa ‘Hendak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih’.
Anda berupaya untuk memilihnya dan membuat keputusan untuk berubah atau tetap selesa berada di bawah tempurung.
Anda juga mungkin pernah mendengar kenyataan ini ‘Mengubah cara pandang dan mencari penambahbaikan adalah kunci untuk pertumbuhan dalam kerjaya’.
Lantaran itu, mahukah anda memiliki kunci -kunci itu?
Dua jenis kunci yang anda perlu cari untuk membuka pintu minda anda ialah;
1. Mahu mengubah cara pandangan anda.
2. Mahu mencari penambahbaikan dalam diri anda.
Mengetahui dan menyedari tabiat-tabiat diri sangat penting untuk mencapai segala impian. Apabila anda tahu dan sedar tabiat-tabiat diri yang buruk, anda berupaya untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan tabiat buruk atau menyisihkannya.
Anda juga berkuasa untuk mengembang dan meningkatkan kualiti tabiat baik yang anda amalkan. Kunci utama ialah kemahuan, kesabaran dan istiqamah melakukan tabiat-tabiat yang baik untuk mencapai kejayaan yang anda impikan.
FB: Nora Morshidi
Leave a comment