Ini adalah kisah sedih kisah adik beradik yang saling bekorban. Kehilangan kedua orang tua bukan perkara yang mudah untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Harta peninggalan menjadi rebutan keluarga ayah dan ibu. Tetapi atas dasar kasih sayang akhirnya… (baca lah sendiri)
Nota ini bertarikh 19 Mac 2020 dalam laman Confession IIUM. Saya tertarik untuk menyiarkan kisah confession ini yang bertajuk adikku sayang kerana jalan ceritanya penuh tauladan dan pengorbanan. Cerita benar dan menyentuh hati kepada sesiapa yang membacanya. Saya menaip semula apa yang terdapat dalam confession tersebut tanpa menambah atau mengurang.
😷😷😷😷😷😷😷
JOM KITA IKUTI KISAH CONFESSION UNTUK ADIKKU SAYANG
JOM KITA IKUTI KISAH CONFESSION UNTUK ADIKKU SAYANG
Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau post saya ni disiarkan. Sebenarnya saya takde nak buat confession apa-apa. Cuma nak bagi penghargaan pada adik saya yang sangat-sangat saya sayang. Maaflah confession ni panjang sedikit ye.
Sikit pengenalan diri. Saya Amir. 32 tahun. Masih bujang. Ok setel pengenalan. Coretan ni saya khususkan buat adik saya Amira. Sebab saya tau dia rajin baca dan komen-komen di page ini. Ok saya mulakan.
Dik. Takde orang yang aku sayang dalam dunia ni melebihi kau. Aku nak kau tau dari mula kau lahir sampailah sekarang. Kaulah satu-satunya orang yang aku ada dalam dunia ni.
Arwah mak meninggal masa umur kau 5 tahun. Kau kecik lagi dik. Hingus pon meleleh lagi. Tapi kau dah hilang kasih sayang seorang mak. Aku sampai sekarang ingat lagi. Aku peluk kau depan jenazah mak. Kau tanya aku.
“Kenapa orang balut mak?”
“Kenapa orang ikat mak?”
“kenapa abang menangis?”
Kau lap air mata aku dengan bantal busuk kau. Kau pujuk aku. Kau peluk aku. Walaupon masa tu kau tak tahu apa-apa, tapi kau dah tunjuk kau lagi kuat dari aku.
Tapi lepas sehari kau tanya bila mak nak bangun. Bila mak nak balik. Kau kata kau rindu mak. Kau melalak depan aku. Depan abah. tapi masa tu abah ada dik. Abahlah yang pujuk kau. Tenangkan kau. Bagi kau paham walaupon kau tak mengerti apa-apa lagi masa tu.
Sedih aku tengok kau dik. Hari-hari kau tunggu mak balik. Tanya pasal mak. Sampai aku tak tau nak jawab apa kat kau. Tapi alhamdulillah lama-lama kau paham jugak yang mak dah takde. Hiduplah kita tiga beranak dik.
Kau mesti ingat kan. Abah punya garang. Allahu. Hari-hari aku kena balun sebab degil. Kau yang datang selamatkan aku dari kena dengan abah. Abah tak pukul kau dik. Sebab kau baik. Tak macam aku. Nakal. Degil. Pantang dapat keluar. Memang maghrib la baru balik.
Kau tak macam aku. Kau main keliling rumah je. Kawan-kawan kau yang datang main dengan kau. Tu sebab kau tak pergi jauh. Jangan aku. Habis segala kebun getah orang aku masuk. Balik kena tibai dengan abah. Kau jugakklah yang tenangkan dia. Ha ha ha ha. Terima kasih dik.
Kau ingat lagi tak dik. 16 tahun lepas. Aku umur 16 tahun. Kau 11 tahun. Abah pengsan masa dalam bilik air. Aku kaget dik masa tu. Keras kejung je kat situ tengok abah. Tak tahu nak buat apa. Tapi kau pandai dik. Kau tenang. Kau pegi lari rumah jiran kita panggil diaorang datang tengok abah. Bawah abah pergi hospital.
Tapi tu la. Allah lagi sayang abah dari kita kan. Abah meninggal masa kat hospital. Tapi kali ni kau dah faham. Walaupun umur kau baru 11 tahun, tapi kau matang dik. Kau kuat. Walaupon kau menangis peluk aku, tapi kau tenang hadap benda tu.
Aku yang tak kuat dik. Aku yang lembik masa ni. Macam-macam aku fikir. Kita dah takde sapa-sapa. Kau dengan aku dah jadi anak yatim piatu. Tapi kau steady dik. Ayat kau memang power. Sampai sekarang aku ingat lagi ayat kau.
“Abah dah takde. Tapi adik ade kau lagi bang. Jangan tinggalkan adik tau. Kalau kau takde, adik takde sapa-sapa lagi dah dalam dunia ni.”
Sedih aku dik. Abah pergi tak tinggalkan apa-apa untuk kita. Yang ada tanah getah 2 ekar. Tapak rumah. Tu jelah. Itu pon ramai je sedara-sedara kita yang tanya. Kau ingat kan dik. Diorang datang rumah kita tanya pasal tanah tu. Aku hambat diorang dengan parang masa tu.
Nasib baik kau ada dik. Kalau tak memang dah kedalam aku masa tu. Ha ha ha… Lepastu kita janji kan. Apa jadi pon biar kita hadap sama-sama. Jangan kita pisah walau apa pon jadi. Lagipon masa tu rumah arwah abah ada. Bukan kita takde tempat berteduh pon.
Meeting kita dua beradik tu kau ingat lagi tak? Yang masa aku nak berenti sekolah sebab nak motong getah tu? Punya beria kau halang. Susah betul aku nak yakinkan kau. Bukan apa dik. Kita masa tu dah tak ada sapa-sapa. Kalau aku sekolah, sapa nak bagi kita makan?
Akhirnya kau beralah jugak. Tepat sebenarnya keputusan aku dik. Antara kita berdua kau yang pandai. Aku ni belajar manjang fail je. Baik aku berenti. Keje carik duit kan. Masa tu la kau buat perjanjian. Aku keje, kau uruskan rumah. Gelak je aku masa tu. Umur kau baru 11 dik.
Nak basuh tangan dekat singki pon kau tak berapa nak sampai masa tu. Ade hati nak uruskan rumah konon, ha hahaha… Tapi kau usaha. Belajar masak. Belajar guna mesen basuh. Kagum jugaklah aku walaupon kadang-kadang kau kata kau masak sambal tapi rasa arang.
Pasal masak nasi pon satu hal jugak dik. Sampai sekarang aku fikir. Apa benda yang kau buat dekat rice cooker tu sampai meletup bende alah tu kau kejekan. Padan muka kau dik.
Lepas tu kau kena masak nasi guna periuk. Tu la sapa suruh kau bagi jahanam rice cooker tu. Tapi aku tak salahkan kau pon dik sebenarnya. Yela kau baru 12 tahun masa tu. Apa je yang kau tau kan. Takpe dik. Aku faham..
Rezeki kau masa UPSR kau dapat 5A dik. Memang tepat keputusan aku tak bagi kau berenti sekolah. Menitik air mata aku masa kau berlari cari aku dalam kebun getah bawak slip periksa kau. Busuk-busuk aku dengan baju motong tu kau peluk. Aku bangga dengan kau dik masa ni.
Alhamdulillah kau dapat sambung ke SBP. Masa ni la kita jual segala harta dalam rumah sebab nak hantar kau. Merata kita dua beradik pusing naik motor dari kampung membawak ke pekan sampailah ke bandar mencari tin kosong dengan kotak nak jual.
Kau tak malu ikut aku buat benda ni semua. Macam-macam orang mengata kita dik. Tapi biarlah kau kata. Demi kau aku pekakkan telinga je dik. Cukuplah ada kau dalam hidup aku. Aku bahagia sangat-sangat dah.
5 tahun kau duduk SBP tu dik. Walaupon kau jauh, tapi aku tak pernah lupa kat kau. Dan aku tau kau tak penah lupa aku.
Tiap-tiap kali kau balik mesti kau masakkan sedap-sedap untuk aku. Sampai kadang-kadang aku duduk sorang-sorang kat rumah aku mengharap sangat kau balik teman aku, sembang dengan aku, masakkan untuk aku, ha ha ha.. Baru kau tau abg kau ni lonely orangnya..
Alhamdulillah. Keputusan SPM kau cemerlang. Kau dapat tawaran pergi ke luar negara. Ireland. Belajar perubatan. Kali pertama aku dengar ada negara nama Ireland. Kau kata medic sana bagusla apa la. Aku iyekan je dik. Bukan aku faham pon apa kau cakap.
Aku ni orang kampung je. Sekolah pon tak habis. tapi aku layankan jugak. Walau dalam hati memikir mana nak carik duit hantar kau jauh-jauh ni. Nasib baik kau ada biasiswa. Keperluan semua alhamdulillah dapat aku adakan untuk kau.
Merata kita jalan naik motor abah nak uruskan hal kau dulu dik. Ambik cop sana. Mintak sain orang ni. Aku ikutkan je walaupon aku tak faham. Asalkan kau dapat sambung belajar aku dah cukup gembira.
Masa hantar kau dekat airport nak pergi sana, lama kau peluk aku. Kau menangis. Macam-macam kau pesan dekat aku. Macam aku pulak yang nak pergi jauh. Padahal kau yang nak pergi belajar. bukan aku. Aku kat sini tetap macam ni jelah dik oi. Penoreh getah berkaliber. Bak kata kau.
Kau marah aku sebab aku tak sedih hantar kau pergi. Sebab aku boleh gelak-gelak bahan kau tengah menangis. Kau tak tau dik. Balik je rumah aku menangis kat bucu katil teringat dekat kau tau. Risaukan kau.
Tapi aku percaya dengan kau dik. Aku tau kau akan banggakan aku. 5 tahun kau dekat sana. Sekali je kau balik. Sebab nak jimat duit. Takpe dik aku faham.
Aku tau masa cuti kau keja nak cari duit tambahan walaupon kau ada biasiswa. Tapi aku silap dik. Rupanya kau kumpul duit nak belikan aku tiket kesana tengok kau konvo.
Fuh bangganya aku dapat tengok kau dik. Menitik air mata aku tengok kau pakai jubah tu ambil skrol. Tak sia-sia aku dating dengan pokok getah hari-hari nak bagi kau belajar.
Lepas majlis tu kau bawak aku pusing-pusing negara tu. Boleh tahan sejuk kat sana. Cantik sungguh negara dia. Seronok betul aku. Sampai lupa la macam mana bau getah sekerap.. ha ha ha..
Tahun lepas kau ingat tak dik. Kau balik kampung jumpa aku. Kita sembang-sembang. Kau tanya aku bila nak kawin. Aku pelik dengar soalan kau. Rupa-rupanya kau yang nak kahwin. Kau bawak bakal suami kau jumpa aku.
Aku ok je dik. Dia pon doktor jugak. Eloklah tu. Sama-sama faham tugas masing-masing.
Masa aku walikan kau dik. Sumpah aku tak kuat. Sebak sangat hati aku. Orang paling aku sayang, orang yang sentiasa ada dengan aku susah senang, nak aku serahkan dekat orang lain. Orang luar pulak tu. Aku hanya mampu doa yang terbaik untuk korang.
Maaflah sebab aku emosi masa akadkan kau. Termenangis pulak. Sori dik ye.
Banyak sangat kalau nak diceritakan kat sini. Buat masa ni cukuplah setakat ni dan tahun ni sekali lagi kau banggakan aku dik. Kau laki bini dipanggil bertugas untuk hadap virus corona ni. Berjam jam kau pakai berbalut macam lepat pisang dalam baju plastik kau tu. Tapi kau tak mengeluh.
Hari-hari kau Whatsapp aku pesan macam-macam. Iye dik. Aku duduk dalam kebun getah je. Habis motong aku balik. Tak kemana. Janganlah kau risau.
Aku bangga dengan kau dik. Kita bukan orang senang. Kita yatim piatu. tapi kau mampu buktikan yang orang macam kita pon boleh berjaya. Aku doakan kau sentiasa selamat melawan virus ni. Semoga kau dan semua hero-hero kita dalam KKM tabah dan kuat meneruskan usaha korang menyelamatkan negara kita.
Sekian dari aku. Terima kasih sebab sudi baca. Assalamualaikum.
😷😷😷😷😷😷😷
DI BAWAH INI ADALAH TANGKAP LAYAR PERKONGSIAN DI FB VIRAL MEDIA MALAYA
sumber:
Viral Media Malaya
iiumc.com
Leave a comment