Buku “The Diary Of A CEO” yang ditulis oleh Steven Bartlett edisi Bahasa Melayu saya telah beli lama tapi belum sempat untuk mentelaah.
Beberapa hari ini, saya mula membaca buku ini dan pandangan pertama saya mengenai buku ini adalah buku ini penuh dengan prinsip.
Prinsip yang perlu fahami dan disuaikan dengan agama dan budaya timur kita.
Dalam buku ini menyediakan 33 hukum dalam bisnes dan kehidupan. Tetapi saya lebih suka untuk berkongsi 4 rukun asas buku ini.
Pada kefahaman saya, buku ini dihasilkan dari 4 rukun ini berdasarkan isi kandungan sehingga 359 muka surat.
Saya akan sebut secara ringkas mengenai 4 rukun tersebut dan saya buat rumusan berdasarkan kefahaman saya sahaja tanpa merujuk semula penerangan buku tersebut.
Menguasai diri, Penceritaan, Prinsip dan Berpasukan merupakan 4 rukun utama dalam buku ini yang akan saya terangkan secara ringkas selepas ini.
Mampu mengawal diri sendiri
Tidak ada orang yang berjaya jika tidak mampu menguasai diri sendiri, memahami diri sendiri dan memimpin diri sendiri.
Setiap keputusan sama ada dipengaruhi orang lain atau pun tidak adalah bermula dari diri sendiri.
Menguasai diri sendiri adalah tidak tunduk atau patuh kepada nafsu tetapi berpegang kepada misi dan visi bersandarkan agama dan budaya.
Jika anda tidak mampu menguasai diri sendiri maka anda akan dikuasai oleh orang lain.
Membawa orang lain dalam dunia kita
Cerita mampu menukar prinsip mereka dan membawa mereka sejajar dengan misi dan visi kita.
Cerita yang mampu menyentuh emosi dan jati diri adalah cerita yang dicari untuk memenuhi keperluan dalaman hampir semua individu.
Cerita mampu membina pengaruh yang kuat tanpa sedar dan penceritaan yang baik akan menjadi garis ukur kepada keburukan dan kebaikan dalam dunia.
Penceritaan juga boleh menukar keadaan negatif kepada positif dan begitu juga sebaliknya.
Bagaimana menguasai penceritaan yang mampu membawa orang lain untuk bersama dengan anda? Soalan ini akan dijawab pada artikel seterusnya.
Kedegilan dan ketetapan
Jika kita mengetahui prinsip orang lain maka kita mampu meneka atau meramalkan setiap keputusan yang akan dia akan buat.
Prinsip bukan terhad kepada orang lain. Prinsip juga termasuk kepada diri sendiri.
Prinsip boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa sesuatu yang boleh dibanggakan atau merupakan ego yang perlu dipertahankan.
Prinsip ini lah yang akan membentu jati diri seseorang termasuklah diri kita sendiri.
Cuma bagaimana kita melihat prinsip ini yang boleh memberi impak kepada kita dan orang lain.
Gempur bersama dengan kekuatan orang lain
Setakat ini walaupun kita mendengar kejayaan peribadi seseorang pastinya dibantu oleh orang lain yang tidak disebut atau diberi kredit.
Untuk berjaya anda memerlukan orang lain dan itu dinamakan pasukan. Pasukan yang bergerak sama dengan anda untuk mencapai misi dan visi anda.
Setiap ahli pasukan mempunyai kebolehan unik yang akan melengkapi antara satu dengan yang lain.
Kerja yang sukar menjadi lebih mudah dan bukan dimudahkan. Lebih mudah adalah perkara sukar tetapi mudah untuk diselesaikan.
Dimudahkan adalah cabaran di alihkan untuk mencapai matlamat atau sekadar untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Membina pasukan merupakan seni yang perlu dipelajari dan difahami.
Leave a comment